Di masa kini wujudnya keadaan-keadaan di dunia ini yang kalau tidak memecah belahkan umat Islam ianya membahagikan umat Islam kepada beberapa kumpulan yang mana majoritinya dipengaruhi ideologi-ideologi dan fahaman-fahaman yang dibawa oleh golongan-golongan yang berpengaruh dan ada juga datangnya daripada tekanan kerajaan atau pihak-pihak berkuasa yang memerintah.
Setelah itu, kumpulan-kumpulan ini mengambil kedudukan yang bertentangan di antara satu sama lain dan sejurus itu mereka pula menjadi serpihan-serpihan lantas bernaung di bawah kumpulan-kumpulan seperti parti-parti Islam; persatuan dan pertubuhan berpaksikan Islam; puak-puak dan kerajaan campuran bertemakan Islam; setiap satu mengikut agenda dan acuan tersendiri.
Apa yang merisaukan lagi membimbangkan di sini adalah apabila terdapat kumpulan-kumpulan dari golongan tersebut yang mempunyai fokus yang cenderung kepada satu usaha untuk mengatasi kumpulan yang lain dengan harapan dapat menawan sokongan umat Islam di tempat, kawasan dan wilayah masing-masing.
Namun begitu umat Islam di tempat, kawasan dan wilayah tersebut sebenarnya adalah keliru dengan perkembangan ini kerana kebanyakan daripada mereka ini adalah terdiri daripada individu-individu yang ikhlas dan lurus yang sentiasa beranggapan bahawa segala permasalahan mereka dapat diselesaikan apabila kumpulan-kumpulan yang mendakwa memperjuangkan agama Islam yang sebenarnya ini memegang tampuk pemerintahan.
Bayangkan betapa kecewanya umat Islam tersebut apabila kumpulan-kumpulan ini setelah berkuasa kemudiannya berpecah daripada arus perdana dan mula mempertikaikan pendapat-pendapat yang sukar difahami di antara satu sama lain berhubung agama Islam itu sendiri sama ada dari segi idealogi, fiqah dan teologi, sama sekali melupakan matlamat asal dan hala tuju ummah tersebut.
Di dalam usaha-usaha mereka untuk menyokong dakwaan dan tuntutan mereka bahawa mereka ini mewakili agama Islam yang sebenar, ada di antara mereka telah pergi lebih jauh dengan melabelkan pihak dan kumpulan yang lain sebagai golongan yang tidak beriman, murtad dan mempunyai fahaman yang bertentangan dengan doktrin agama Islam yang sebenar.
Walaubagaimanapun, hakikat yang sebenarnya adalah kumpulan-kumpulan ini telah hilang
tumpuan dan perhatian ke atas prinsip-prinsip dan tujuan sebenar Shari’ah yang memperuntukkan umat Islam dengan perspektif yang jauh lebih luas daripada debat-debat yang rumit mengenai soal undang-undang dan prosedur, atau perbezaan-perbezaan yang ketara di antara hujah-hujah yang bercanggah.
Malah, pengalaman telah menunjukkan bahawa debat yang berpanjangan adalah sia-sia sahaja dan kadangkala akan menyebabkan minda kita tidak berupaya untuk memahami situasi-situasi yang sebenar dan menyukarkan kita untuk membuat pertimbangan yang bernilai ke atas situasi tersebut yang sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.
Boleh dikatakan bahawa perkembangan ini adalah suatu yang berbahaya seakan satu ‘penyakit’ yang telah menjangkiti umat Islam itu iaitu penyakit pertelingkahan di antara satu sama lain, perselisihan faham dan perbalahan yang ada kalanya membawa kepada persengketaan. ‘Penyakit’ ini semakin hari semakin merebak dan mempengaruhi setiap kawasan dan segenap masyarakat. Pengaruh yang dashyat ini juga telah meresap dan menembusi idea-idea dan kepercayaan, moraliti dan tingkah laku dan cara bertutur dan berinteraksi.
Ianya juga boleh meracuni suasana dan persekitaran dan meninggalkan kesan yang membawa ketandusan kepada hati dan jiwa. Sejumlah besar daripada mereka yang dijangkiti ‘penyakit’ ini seolah-olah seperti beradu tenaga di antara satu sama lain dalam perjuangan masing-masing dan ini menimbulkan tanggapan seolah-olah Islam, perintah dan larangannya yang tersedia untuk umat Islam itu adalah semata-mata untuk mendorong masyarakat itu berbalah dan meninggalkan mereka dalam keadaan saling menghancur dan bersengketa.
Arah aliran ini sememangnya adalah jauh bertentangan sama sekali dengan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an dan Sunnah. Selepas menitik beratkan tanggungjawab yang paling utama; iaitu memperakui keEsaan Tuhan (Tauhid), kedua-dua Al-Qur’an dan Sunnah menekankan satu perkara mengatasi segalanya; iaitu perpaduan ummah.
Matlamatnya adalah untuk mengubat dan menyingkirkan sebarang perselisihan dan perbalahan di dalam ummah yang jelas sekali mengganggu keamanan dan keharmonian hubungan persaudaraan di antara umat Islam.
Memandangkan kita umat Islam semuanya mempercayai dan bertaqwa kepada Tuhan yang satu dan sama; Nabi (s.a.w.) kita, kitab suci kita, arah kiblat kita semasa solat dan tujuan kehidupan kita semuanya adalah satu dan yang sama, sepatutnya kita semua boleh bersatu di bawah satu naungan dan di bawah satu bumbung di atas nama agama kita yang suci ini.
Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam surah Al Anbiyaa': 21 yang bermaksud
Sesungguhnya agama Islam Inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka Sembahlah kamu akan daku.
Di atas kesedaran ini marilah kita sebagai umat Islam sama-sama mengorak langkah untuk mewujudkan satu pentas yang mana kita semua sebagai umat Islam boleh bersatu di atasnya dan di bawah satu perjuangan bersama tanpa membenarkan perbezaan pendapat di antara kita di dalam idelogi dan teologi menjadi batasan dalam menegakkan, mempertahankan dan membela agama kita yang suci ini.
Di dalam konteks negara kita Malaysia, fenomena ini sudah mula kelihatan di mana umat Islam sudah mula menjadi serpihan-serpihan dan terbahagi kepada beberapa kumpulan yang masing-masing memperjuangkan Islam mengikut fahaman dan ideologi masing-masing. Ada yang mendakwa cara mereka lebih ‘Islamic’ daripada yang lain dan ada pula mendakwa pemahaman mereka mengenai Islam adalah yang sebenarnya.
Apa yang dilihat di sini adalah masing-masing menggunakan perbezaan-perbezaan dari segi pemahaman dan pendapat itu di antara satu sama lain sebagai satu halangan untuk mereka duduk semeja di bawah satu bumbung jauh sekali untuk mewujudkan satu kerjasama dalam memperjuangkan agama Islam.
Persoalannya di sini adakah mustahil bagi mereka ini mencari satu persefahaman bersama untuk membolehkan mereka duduk semeja dan bekerjasama untuk membangunkan memperjuangkan dan mempertahankan agama Islam?
Mungkin perkara ini amat sukar dilaksanakan atau terlalu ideal untuk dipraktikkan kerana hakikatnya apabila kita tidak bersetuju dengan pandangan atau pendapat orang lain terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan agama ianya akan menjadi satu perkara yang dianggap sensitif dan kompleks. Tambahan lagi perbezaan ini turut diikuti dengan dakwaan bahawa mereka yang berbeza pendapat ini telah terpesong daripada landasan Islam yang sebenar.
Ini sepatutnya tidak berlaku kerana sepatutnya umat Islam berfikiran matang dalam hal-hal sedemikian. Satu cara yang boleh diguna pakai oleh kita dalam mewujudkan satu kerjasama di antara semua umat Islam di atas satu persefahaman bersama untuk memperjuangkan Islam, adalah mencari dan mencapai satu persetujuan bersama di antara masing-masing sebagai titik permulaan.
Perselisihan di antara mereka ini mungkin juga boleh dicuba untuk dijadikan satu titik permulaan tersebut iaitu kesemua mereka bersetuju bahawa mereka ini tidak bersetuju di antara satu sama lain dalam banyak hal dan perkara!
Setelah itu apabila mereka sudah mencapai ‘persetujuan’ tersebut masing-masing haruslah menghormati kedudukan di antara satu sama lain. Mungkin setelah ini mereka boleh duduk semeja dan merangkakan kerjasama dalam memperjuangkan dan mempertahankan agama Islam.
Walaupun sukar untuk dilaksanakan ianya tidaklah musahil sama sekali. Hakikatnya kita semua harus beringat kepada firman Allah di dalam surah Al Anfaal : 46 yang bermaksud :
dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Allah juga telah berfirman di dalam surah Ar Ruum: 31-32 yan bermaksud
Hendaklah kamu (Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
Pertelingkahan ini yang membawa kepada perpisahan dan perpecahan di kalangan umat Islam adalah sama dengan meninggalkan terus panduan dan bimbingan Rasulullah (s.a.w.) dan mengasingkan diri kita daripada baginda Rasulullah. Allah telah mengingatkan Rasulullah (s.a.w.) mengenai mereka yang ‘berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing dan telah menjadi berpuak-puak’ iaitu di dalam surah Al An’am: 159 yang membawa maksud: -
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah Engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).
Ayat tersebut di atas cukup jelas mengutuk semua puak-puak yang berselisihan ini yang lahir daripada orang yang tidak toleran, yang mendakwa mereka mempunyai kedudukan eksklusif sebagai ‘pendukung tunggal yang sebenar’ ajaran Islam yang agung ini.
Janganlah kita jadi sama seperti para pengikut Kitab-Kitab sebelum Al Qur’an yang enggan menerima kedatangan al Quran dan enggan juga memperakui agama Islam; masalah mereka bukannya mereka ini mempunyai pengetahuan yang sedikit atau pengetahuan mereka itu telah terpesong tetapi mereka ini telah menggunakan pengetahuan mereka itu untuk melakukan ketidak adilan dan menyemai dan memupuk permusuhan. Firman Allah di dalam surah Al Imran: 19 yang bermaksud :
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.
Jadi apa yang patut dilakukan oleh golongan dan kumpulan yang sentiasa bertelingkah dan bercanggah pendapat berhubung hal-hal kefahaman Islam untuk memastikan bahawa mereka ini tidak tergolong di dalam kumpulan yang memecah belahkan umat Islam sehingga melemahkan semangat dan menghilangkan kekuatan umat Islam itu sendiri?
Setelah mencapai ‘persetujuan’ yang telah dinyatakan sebelum ini di atas iaitu bersetuju bahawa mereka ini memang mempunyai banyak ketidaksamaan, mereka harus mengiktiraf dan memperakui bahawa memang menjadi lumrah dan naluri manusia itu untuk mempunyai pandangan yang berbeza dalam banyak perkara yang berhubung kait dengan pengendalian pelbagai urusan di dunia ini; dalam erti kata yang lain perbezaan pendapat ini adalah suatu yang semulajadi bagi manusia.
Kita juga harus sedar bahawa terdapat juga keunikan yang sedia ada di dalam diri setiap individu yang menyumbang secara besar kepada kepelbagaian yang menjadi asas kepada pembangunan insan dalam masyarakat.
Adalah menjadi sesuatu yang mustahil untuk membentuk hubungan sosial di antara manusia yang semuanya adalah bersependapat dan mempunyai kapasiti-kapasiti yang sama. Sekiranya ini berlaku maka tidak akan ada skop untuk berinteraksi, untuk memberi pandangan dan untuk memperbaiki kehidupan diri.
Kepelbagaian di dalam bakat dan kemahiran manusia itu adalah berpunca daripada kepelbagaian di dalam mental setiap individu dan kemahiran-kemahirannya yang berfungsi. Dan apabila perbezaan-perbezaan yang sedia ada dan yang diperolehi ini bergabung maka ianya akan menyumbang kepada kebaikan manusia itu; dan dalam konteks kita ini kepada kebaikan dan kekuatan ummah. Di dalam semua perkara ini kita sepatutnya melihat ianya sebagai satu manifestasi kekuasaan dan kebijaksanaan Ilahi.
Sekiranya perbezaan-perbezaan pendapat ini boleh beroperasi di dalam rangka yang sihat maka ianya sudah tentu akan memperkayakan minda umat Islam dan meransangkan pembangunan intelektual individu-individu. Ianya juga dapat membantu memperluaskan perspektif dan membuat kita melihat kepada masalah-masalah dan isu-isu yang merumitkan di dalam beberapa cabang dan menyelesaikan dan menjawabkannya dengan lebih tepat dan teliti.
Malangnya di dalam realiti masa kini perkara di atas tidak mungkin berlaku kerana ketiadaan sebarang usaha yang diwujudkan oleh mana-mana pihak yang selalu bertelagah ini untuk menyatupadukan umat Islam keseluruhannya tanpa mengira kedudukan, pangkat, ideologi dan segala jurang yang ada di antara mereka untuk bekerjasama membangunkan agama Islam.
Keadaan ini telah menular menjadi satu situasi yang mana ada di antara mereka yang mengambil kedudukan yang berbeza ini sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh Islam daripada mendampingi saudara seagamanya sendiri yang berkongsi kepercayaan asas yang sama.
Sekiranya tidak dibendung lambat laun mereka ini akan hilang penglihatan dan pedoman ke atas semua perkara secara keseluruhan. Di dalam proses ini, mereka ini tidak lagi akan menghiraukan objektif dan matlamat mulia agama Islam dan prinsip-prinsip asasnya. Mereka juga akan kehilangan visi dan wawasan dan lupa kepada panduan asas tingkah laku di dalam Islam. Mereka akan kehilangan perimbangan dan keutamaan. Kata-kata dan ucapan-ucapan yang tidak berdasarkan kepada ilmu pengetahuan akan senang diterima oleh mereka, sama juga dengan keputusan yang dibuat tanpa bukti yang menyokong dan amalan tanpa kesedaran.
Dengan adanya mereka ini dikalangan masyarakat dan meningkatnya mereka dalam bilangan, tuduhan-tuduhan melulu akan berleluasa, akan ada orang yang akan dicapkan oleh mereka sebagai yang melencong dan yang berdosa and orang lain yang tidak mengikut atau menerima amalan dan pandangan mereka akan dikatakan sebagai orang yang tidak lagi mempercayai (kuffar).
Jika dilhat daripada sejarah, umat Islam sejak dari awalnya memang mempunyai perselisihan. Tetapi perselisihan ini adalah tidak lebih daripada perselisihan atau perbezaan pendapat dan tidak sama sekali dijadikan alasan untuk merenggang dan berpecah di kalangan mereka yang bertentangan pendapat itu. Mereka berbeza pendapat tetapi tidak berpisah di antara satu sama lain. Ini adalah kerana bagi mereka perpaduan hati dan mencapai objektif-objektif mereka adalah jauh lebih penting daripada balasan yang hanya mementingkan diri sendiri. Mereka ini telah berjaya menyingkirkan daripada diri mereka kelemahan-kelemahan peribadi dan sentiasa berminat untuk memperbaiki diri mereka akan kelemahan-kelemahan tersebut.
Rasulullah (s.a.w.) pernah memberitahu para Sahabat akan seorang lelaki yang merupakan yang terbaik dikalangan mereka dan berita yang menggembirakan iaitu lelaki tersebut adalah termasuk di dalam golongan yang akan ke Syurga. Para Sahabat seterusnya mengkaji latar belakang lelaki ini; perilaku dan sikap beliau untuk memahami punca pencapaian agung ini.Lantas Rasulullah (s.a.w.) memberitahu para Sahabat bahawa pencapaian lelaki tersebut adalah disebabkan oleh hakikat bahawa lelaki tersebut tidak pernah tidur dalam keadaan hatinya mempunyai sebarang perasaan benci ke atas mana-mana orang Islam.
Adalah diakui bahawa untuk mewujudkan ‘pentas’ yang boleh dkongsi bersama oleh kumpulan-kumpulan yang bertelingkah dan berbeza pendapat ini adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan. Malah mungkin akan terdapat tentangan daripada dalam dan luar negeri. Mungkin juga tentangan ini akan datang daripada kalangan orang Islam itu sendiri dan disokong kuat oleh musuh-musuh Islam. Akan tetapi kita sebagai umat Islam tidak sepatutnya merasa lemah semangat ataupun gentar untuk melaksanakannya atau menghadapi tentangan-tentangan ini. Ingatlah kepada firman Allah di dalam surah Ash Syarh: 5 yang membawa maksud: -
oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
Marilah kita semua sebagai umat Islam memulakan usaha ini dengan memperbaharui penekanan ke atas penyatuan para cendekiawan Islam dan juga memulihkan pertimbangan ke atas keutamaan-keutamaan kita sebagai umat Islam. Matlamat ini perlu menjadi ciri yang ketara dan utama di dalam melatih generasi muda umat Islam.
Kesemuanya ini tidak akan dapat dicapai kecuali dengan kembali kepada peninggalan warisan umat Islam yang terawal yang terkenal dengan sikap yang tidak pernah menyimpang daripada berpegang kukuh ke atas al Qur’an dan Sunnah. Sebahagian daripada warisan ini adalah pencarian yang tidak terhenti ke atas ilmu pengetahuan yang sebenar dan mengguna pakai ilmu pengetahuan ini. Kita perlu mengembalikan semangat pencarian ini dan memberi jaminan bahawa ianya akan berterusan. Apa yang paling penting adalah talian di antara ilmu pengetahuan dan etika mesti dipulihkan.
Pengajian ke arah perpaduan ummah hendaklah dibangunkan termasuk menerokai bidang-bidang kerjasama di antara satu sama lain. Kesemua ini hendaklah dilakukan dan dikejar dengan cara yang jelas dan sistematik. Dalam pada masa yang sama kita juga hendaklah berhati-hati dan memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan penentang yang agresif dan fanatik yang sentiasa akan mewujudkan kesusahan dan kacau bilau demi memastikan umat Islam itu tidak akan bersatu di atas satu landasan perjuangan dan bersama mempertahankan agama Islam.
Apa yang perlu adalah memperkasakan umat Islam itu terutamanya para belia dengan ilmu pengetahuan yang jelas dan mempunyai persepsi etika Islam dan norma-norma tingkah laku yang beradab adalah satu prasyarat dan jaminan untuk mencapai keamanan, harmoni dan kerjasama, Insya Allah!
Pengetahuan mengenai etika-etika dan norma-norma Islam dalam mengendalikan segala macam perbezaan; kesedaran ke atas prinsip-prinsip Islam dan melatih umat Islam untuk hidup mengikut norma-norma tersebut tanpa diragui akan mengerahkan tenaga dengan banyaknya di dalam ummah – tenagaa yang mana kini telah difoya-foyakan dan dibazirkan di dalam konflik dalaman yang sia-sia.
Apabila minda setiap orang Islam mula sedar kepada peranannya, ianya akan cuba mendapat kemenangan hati mereka yang lain yang pada asalnya tergolong di dalam ummah tetapi telah disisihkan.
Mereka yang telah mendapat kesedaran ini hendaklah bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas penting ini iaitu mendirikan satu tapak yang kukuh dan mantap untuk mengembalikan perpaduan ummah tersebut, dan seterusnya untuk membina semula tamadun Islam.
Sekiranya keazaman kita adalah ikhlas seharusnya tiada apa yang akan menghalang kita daripada menjadi umat Islam yang pulih daripada pengaruh-pengaruh anti Islam yang mana, berdasarkan janji Tuhan, akan tiba satu hari nanti apabila mereka yang beriman kepadaNya akan mencapai kegemilangan dengan bantuan Ilahi dan yang rugi adalah, pada masa dan ketika itu, mereka yang cuba untuk menghapuskan kebenaran yang gagal difahami mereka.
Wallahu’alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment